Monday, September 24, 2007

MARI BERSCUBA

PERKARA paling penting dalam aktiviti selam skuba adalah memohon lesen. Tanpa lesen, anda tidak boleh sesuka hati menyelam di dasar laut. Terdapat pelbagai organisasi yang menawarkan lesen kepada sesiapa yang mahu menyertai aktiviti berkenaan dan ia beroperasi di seluruh dunia.

Antara yang paling popular ialah Padi ( Professional Association of Diving Instructors), NAUI (National Association of Underwater Instructors), B-SAC (Bristish Sub Aqua Club) dan C-MAS (Confederation Mondiale des Activities Subaquatiques).

Organisasi berkenaan menawarkan khidmat latihan bermula dari peringkat awal hingga ke peringkat tertinggi seperti Master Scuba Diver Trainer (MSDT). Bagi peringkat awal untuk memohon lesen, kosnya adalah antara RM1,000 dan RM1,500.

“Wah! Mahalnya! Saya memang teringin nak ambil lesen selam skuba, tapi mahal sangatlah!”

Ini adalah antara dialog yang biasa didengar apabila mereka diberitahu kos untuk memohon lesen skuba. Rata-rata kebanyakan rakyat Malaysia mempunyai tanggapan bahawa selam skuba adalah satu aktiviti yang mahal dan hanya layak disertai golongan berada.

Memang tidak dinafikan kos sebegitu agak tinggi bagi sesetengah orang. Tentulah sukar untuk seseorang yang hanya berpendapatan di bawah RM1,000 sebulan untuk memohon lesen skuba. Namun, setiap masalah ada penyelesaiannya apabila harga itu sebenarnya masih boleh dirunding menerusi pusat latihan skuba bertauliah.

Bagi anda yang menganggap selam skuba adalah aktiviti mahal, anggaplah ia sebagai satu pelaburan dalam hidup anda. Ia sama seperti perniagaan kerana jika anda mahukan keuntungan, anda perlu mengeluarkan modal.

Jika kita terus menganggap skuba sebagai aktiviti mahal, sampai bila-bila pun, ia tetap mahal. Malah tidak mustahil kosnya juga meningkat dari semasa ke semasa. Jadi cubalah anggapnya sebagai satu bentuk perniagaan buat anda.

Jika anda melabur, sudah tentu ada pulangan. Bagi skuba, pulangannya tidaklah datang dalam jangka masa pendek, tetapi apa yang pasti ia memang berbaloi. Dalam erti kata lain, selam skuba sebenarnya memberi anda keuntungan dalam jangka masa panjang jika anda serius.

Ia sebenarnya menawarkan peluang pekerjaan yang banyak. Anda boleh menjadi seorang profesional dalam bidang berkenaan, antaranya ialah jurulatih selam skuba, jurukamera ataupun jurugambar dalam air. Semua profesion ini memang diperlukan sejak akhir-akhir ini. Bayarannya pula memang lumayan!

Di samping itu, pulangannya bukan dirasai anda seorang, tetapi mungkin anak anda. Tidak mustahil jika apabila didedahkan dengan aktiviti ini, anak-anak menunjukkan minat. Siapa tahu jika anak anda dewasa dia berminat memilih kerjaya sebagai ahli biologi marin dalam bidang sains marin. Selain itu, kerjaya sebagai juruselam komersial juga boleh memberi pulangan lumayan.

Namun, semua ini bergantung kepada niat anda. Jika anda serius ingin menjadikan selam skuba sebagai kerjaya, ia memang menjadikan masa depan yang cerah. Di Malaysia, bidang ini semakin mendapat tempat apabila ramai menyedari keseronokan dan manfaatnya.

Selain memberi pulangan seperti disebutkan, ia memberi pengalaman baru kepada anda. Ini kerana tidak ramai berpeluang meneroka dasar laut dan menghayati keindahannya. Justeru, anda yang terbabit dalam aktiviti ini seharusnya berasa bangga dengan kelebihan ini.

-petikan harian metro-

2 comments:

izad29 said...

As salam......saya adalah salah seorang penyelam skuba berlesen dan apa yg ingin saya katakan bahawa aktiviti ini tak la mahal mana pun....namun apabila menyelam ni kita dapat menghilangkan stress serta seolah olah di alam lain yg sangat cantik sambil dikelilingi hidupan laut yg unik....sekiranya berminat untuk mengambil lesen bole hubungi saya melalui email izadtdc@gmail.com.......berbaloi baloi......

zaidi said...

thank izad29 for the comment. sesiapa yang berminat nak snorkel, boleh hubungi beliau seperti post yang tertera.

kalau team KKS nak ambil lesen boleh dapat diskaun ke camna?