Monday, January 7, 2008

SEPETANG BERSAMA HUJAN

HUJAN sering disinonimkan dengan keadaan cuaca yang sejuk dan dingin. Namun jika disebut kumpulan Hujan, apa yang tergambar di fikiran adalah satu fenomena yang sedang hangat dan membara yang melanda industri hiburan tanah air masa kini terutama buat penggemar muzik underground.

Kumpulan yang dianggotai empat anak muda iaitu Noh (vokalis), IY.AG (gitaris), Ambobzeela (drummer) dan Dukegong (basis) ini semakin mencipta nama dalam industri muzik. Malah diakui populariti yang mereka kecapi setanding dengan kumpulan muzik dari arus perdana.

Cuma mungkin mereka agak ‘malu’ untuk menonjolkan diri dan lebih senang bersikap low profile berbanding terlalu didedahkan dengan publisiti murahan yang bertentangan dengan imej dan perjuangan muzik mereka.

Buktinya, selepas beberapa kali dipujuk untuk menjayakan fotografi, vokalis serta jurucakap Hujan, Noh masih belum dapat memberi kata putus. Malah dia juga tidak dapat memberi jaminan untuk mengumpulkan kesemua anggota kumpulannya pada masa yang sama kerana terikat dengan komitmen masing-masing.

Mujurlah sewaktu sidang media pengumuman sambutan ulang tahun keempat stesen televisyen 8TV, Hujan hadir sebagai tetamu. Walaupun cuma Noh seorang diri yang muncul, namun itu sudah cukup untuk mendasari hati vokalis kumpulan yang berjaya melakar sejarah tersendiri dalam muzik underground.

Terlalu banyak perkara hebat yang penulis dengar mengenai kumpulan ini. Jika tidak masakan kumpulan rock dari seberang, Slank memberi pujian melangit terhadap mereka. Yang pasti, Hujan yang mula ditubuhkan sekitar 2005 berjaya mencipta fenomena sekali gus membuka mata banyak pihak bahawa Malaysia tidak pernah ketandusan kumpulan muzik berbakat.

Berbicara dengan vokalis yang mempunyai potongan rambut ala kumpulan Beatles ini, sesi temu bual yang dijangka serius menjadi sebaliknya. Biarpun berperwatakan gila-gila tetapi bagi Noh, mereka ada wawasan tersendiri dalam berkarya. Bernafas dalam jalur muzik rock alternatif, Hujan lebih senang bergerak bebas tanpa sebarang kawalan dari syarikat rakaman.

“Kami lebih senang begini. Jual EP menerusi internet dan buat persembahan tanpa mengira mahal atau murah. Yang penting pengikut kami gembira. Kalau kami jadi artis rakaman, semuanya nak kena ikut telunjuk mereka. Tak boleh buat konsert murah macam kita buat sekarang. Jadi buat masa ini, kami lebih senang bergerak bebas. Kami tak mahu kehilangan apa yang kami kecapi sekarang,” tegas Noh yang sebelum ini pernah menganggotai kumpulan hip hop, Mix.

Mengulas fenomena yang mereka cetuskan di kalangan penggemar muzik underground, Noh berkata mereka tidak pernah menyangka menerima sambutan sebegitu.

“Bagi Hujan, apa yang kami lakukan ini adalah semata-mata kerana kami begitu meminati muzik. Lagipun, mungkin sebab Hujan menyanyikan lagu berentak seperti ini dalam bahasa Melayu kerana kalau kita tengok, kebanyakan kumpulan muzik lain lebih selesa menyanyi dalam bahasa Inggeris,” jelas Noh selamba.

Menyingkap sejarah awal penubuhan Hujan, Noh berkata semuanya bermula menerusi laman web my Space. Perkenalan dari laman web popular itu menjadikan kumpulan Hujan terus berada di kedudukan sekarang.

“Saya mengenali anggota lain menerusi laman web ini. Daripada bersembang biasa mengenai muzik sehinggalah timbul idea untuk jamming bersama. dan dari situ maka lahirlah kumpulan Hujan,”katanya sambil mengakui kebanyakan aktiviti kumpulan Hujan semuanya dilakukan menerusi laman web itu.

Walaupun bergerak ‘bawah tanah’ namun kehebatan kumpulan ini dapat dihidu hingga ke luar negara. Dan sekiranya tiada aral melintang, Mac depan, Hujan akan berangkat ke United Kingdom untuk membuat persembahan di sana.

”Kami membuat persembahan di sana atas undangan pelajar kolej sana. Ada empat kolej terbabit dalam penganjuran konsert ini. Antaranya di Cardiff, Liverpool dan London. Apapun, perkara ini masih lagi dalam peringkat perbincangan. Semoga ia menjadi kenyataan,”pinta Noh.

Terbabit dalam program amal

DALAM pada sibuk berkarya, penuhi undangan persembahan di sana sini, Hujan tidak pernah mengenepikan tanggungjawab sosial mereka terhadap insan yang kurang bernasib baik.Justeru pembabitan mereka dalam program Click A Child dilihat sebagai satu lagi sumbangan mereka selain bermain muzik.

“Sebenarnya kami sudah lama terbabit dalam kerja amal ini. Projek ini dijalankan secara kerjasama dengan Persatuan Anak Yatim SeMalaysia atau PEYATIM. Apa yang kami lakukan adalah pergi ke rumah anak yatim serta peruntukkan masa bersama mereka. Kami juga meminta tajaan daripada mana-mana badan korporat untuk membantu rumah anak-anak yatim ini.

“Bagaimanapun, wang yang kami terima itu bukan untuk perbelanjaan makan dan minum mereka kerana itu semua sudah ada pihak lain yang membantu. Sebaliknya, wang itu akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan pendidikan mereka.

“Contohnya jika ada di antara kanak-kanak itu meminati bidang sukan, kita akan gunakan wang itu untuk melatih mereka sehingga mereka mencapai tahap profesional. Itu rasanya lebih bermanfaat buat mereka,”cerita Noh yang kini sedang menyiapkan laman web khas untuk tujuan itu.


FAKTA: Hujan

  • HUJAN ialah nama yang dipilih oleh sebuah kumpulan indie ditubuhkan pada awal 2006 dan bertapak di Malaysia. Dianggotai oleh Noh (vokalis), IY A.G (gitaris), Ambobzeela (drummer) dan Dugong (basis)
  • KUMPULAN muzik ini lebih suka melabelkan genre yang mereka bawakan sebagai rock alternatif dan lebih cenderung mendendangkan lagu bahasa Malaysia. Antara artis-artis yang dinyatakan sebagai pengaruh dan ilham kepada mereka ialah The Strokes dan Butterfingers.

  • HUJAN boleh dihubungi menerusi laman web www.myspace.com/kugiranhujan

  • PERNAH melahirkan EP yang berjudul 1,2,3 Go! . Antara lagu yang terkandung dalam album ini adalah Gundah, Kuala Lumpur, Ahmoi Chantek, Hiba, Pagi Yang Gelap dan Sekejap Sahaja. Mereka juga pernah mengeluarkan beberapa demo dan antara yang popular adalah Ludah Amerika, Luka Mana , Mama Papa, Empayar Mu, Dikala Bulan Bermain Bola, Sedih dan Neon.

  • MENDAPAT pujian daripada kumpulan rock Indonesia, Slank selepas menyaksikan mereka beraksi di kelab Little Havana pertengahan tahun lalu.

  • MUNCUL dengan album EP kedua mereka 15 Disember lalu berjudul Check Check Rock Rock. Nama itu dipilih kerana mereka gemar menyebut ayat itu sebelum memulakan persembahan.
-plagiat gila babi dari http://jengkoi.blogspot.com -

No comments: