Tuesday, November 3, 2009

WHITEWATER RAFTING -SG KAMPAR, PERAK

Pada hari sabtu 31 hb oktober salah seorang ahli Kelab Kembara Serdang telah menyertai sekumpulan staf Kementerian Wilayah Persekutuan Malaysia yang mengikuti aktiviti 'whitewater rafting" di Sg Kampar, Kampar. Berikut adalah laporan daripada penulis....


Pada jam 8.30 pagi, kami berkumpul di lobi Menara PJH, Precint 2 Putrajaya. Seramai 18 orang staf Kementerian Wilayah Persekutuan termasuk saya telah mendaftar dengan Nomad Adventure untuk menyertai aktiviti ini. Penyelaras program ini, En. Fariz Ubaidullah memberikan taklimat ringkas mengenai aktiviti yang akan dijalankan.

Tepat jam 9.00 pagi, kami memulakan perjalanan menaiki bas kementerian menuju ke destinasi. Sekitar jam 11.00, kami berhenti di hentian RnR Tapah untuk berehat sambil mengisi perut yang sudah mula berkeroncong.

Dari RnR Tapah, kami bertolak menuju ke susur keluar Gopeng pada jam 12.00. Destinasi pertama kami adalah kawasan rekreasi Gua Tempurung untuk berhenti solat zuhur. Pada jam 13.15, kami terus menuju ke Earth Camp milik Nomad Adventure. Di sana kami melaporkan diri untuk menyertai aktiviti 'whitewater rafting'.

Sekitar jam 14.00 kami di bawa menaiki lori 'ayam' ke lokasi permulaan aktiviti. Sebaik tiba di lokasi, kami diberikan seorang satu alat pengapungan diri (PFD) dan topi keledar sebagai persediaan untuk menghadapi bahaya risiko aktiviti ini. Seterusnya, pihak Nomad Adventure memberikan sedikit tak limat mengenai risiko dan bahaya aktiviti tersebut.






Kemudian kami diberikan tunjuk ajar bagaimana untuk menyelamatkan diri sekiranya terjatuh dari bot ketika melalui kawasan jeram. Dan akhir sekali, kami dibahagikan kepada 4 kumpulan dimana 2 kumpulan seramai 5 org setiap satu dan 2 kumpulan seramai 4 orang setiap satu.
Bot mula dilepaskan satu demi satu untuk mengelakkan dari bertembung semasa meredah jeram. Jarak yang dilalui adalah sejauh 6.5 km dari titik permulaan. Semasa melepasi peringkat pertama jeram, kami di nasihatkan supaya mengikuti arahan yg diberikan oleh setiap 'instructor' dlm bot masing-masing.









Setiap kali meredah jeram, masing-masing bagai kecut perut melihat jeram yang bakal diredah. Selepas satu demi satu jeram yang di redah, semuanya berjalan dengan lancar. Berbagai reaksi jelas terpancar di wajah kami sebelum dan selepas meredah jeram2 yang ada di Sungai Kampar. Menurut kata koordinator aktiviti ini, jeram yang kami lalui merupakan jeram pada tahap 2 dan 3++.

1 jam selepas melalui peringkat pertama jeram, kami berhenti sebentar untuk berehat. Pihak Nomad Adventure memberikan kami seorang sebiji epal untuk mengalas perut. sambil berehat, ada diantara kami yang mengambil kesempatan melakukan aksi terjunan dari atas batu. Saya turut serta mempamerkan aksi terjun badak. Selepas kira-kira 20 minit berehat, kami meneruskan perjalanan menghabiskan aktiviti 'rafting'. Jeram-jeram yang kami lalui semakin mudah dan perlahan.


Sekitar jam 17.00 kami tiba di Earth Camp. Apabila berlabuh di jeti, masing-masing dengan muka penuh kepuasan. Hanya senyuman yang terukir. Pihak Nomad Adventure telah menyediakan sedikit makanan untuk kami yang dalam kepenatan dan kelaparan. Selesai makan, ada di kalangan peserta mandi dan menyalin pakaian.


Pada jam 1820, kami bertolak pulang ke Putrajaya. Kami tiba di perkarangan Menara PJH sekitar jam 2200. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti 'Whitewater Rafting' ini, sila layari laman web ini, www.nomadadventure.com. Sekian laporan trip solo KKS dari saya, Abdullah Wafi.

gambar2 aku amek dari sini http://picasaweb.google.com/sayangkufaris/WWR1